Jumaat, 21 Oktober 2022

JOM SAKSIKAN PERSEMBAHAN OLEH SELANGOR SYMPHONY ORCHESTRA DI THE HAVEN RESORT IPOH


Salam semua,
Apa khabar belaka? Harapnya semua dalam keadaan sihatlah hendaknya. Situasi Covid-19 pun dah masuk ke fasa endemik kan, kalau terkena jangkitan Covid pun dah gaya macam kena selsema je. Apa pun situasi ni mungkinlah masih berbahaya buat golongan yang berisiko tinggi dan yang mempunyai daya ketahanan badan yang rendah. Apapun, jomlah teruskan langkah berhati-hati dan jaga kesihatan diri daripada sebarang jangkitan selain dari Covid sekalipun. Jaga kesihatan pun kan di kira satu ibadah kan..

Lagi satu, kita ni dahlah penat bekerja sehari-hari, sesekali tu kena juga rehatkan badan, hiburkan diri dan tenangkan hati kan. Apa kata hujung bulan Oktober ni kita set siap-siap dalam kalendar untuk mengunjungi The Haven resort Ipoh. Ada apa kat sana?

TANDA DI KALENDAR ANDA TARIKH 27, 28 DAN 29 OKTOBER 2022!

Ada The Haven Musical Extravaganza hasil kerjasama Selangor Symphony Orchestra dan disokong oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian & Kebudayaan (MOTAC)! Persembahan orkestra ni dijadualkan berlangsung 3 malam berturut-turut dari 27 hingga 29 haribulan Oktober 2022. Bolehlah kita menikmati malam muzikal dalam penginapan mewah, ditemani gastronomi dan persekitaran resort yang indah. The Haven ni kan pemenang Anugerah All Suite Resort, memang marvellous lah kisahnya!

Pengalaman 'Sensurround' yang macam ni, pertama kali diadakan tau. Tetamu resort boleh pilih lah nak menikmatio konsert tu dari taman kat tepi tasik ke, Amfiteater ke. Lebih menarik lagi nak dengar dari balkoni bilik masing-masing pun boleh! Pilih je dari pakej muzik istimewa yang disediakan. Alunan musik dari tasik menjadi lebih istimewa dengan kedudukan strategik pemuzik di sekitar resort, pinggir hutan dan di setiap aras ketiga-tiga blok.

Konsert tersebut akan dipersembahkan oleh konduktor Eugene Pook, mezzo-soprano Jiayao Sun, pemain biola antarabangsa Dr. Hyungi Kim dan penyanyi Asyraf Farhan Adi Zairi dari Malaysia. Karya dari The Sound of Music, Phantom of the Opera, dan Kitaro, serta karya Selangor Symphony Orchestra akan ditampilkan dalam program ini. Kesemua persembahan akan bermula tepat pada jam 8:00 malam.


 Peter Chan, Ketua Pegawai Eksekutif The Haven All Suite Resort, berkata, 

“Selepas berehat daripada pandemik, kami ingin sambung kembali industri pelancongan. Apakah lagi cara yang lebih baik kalau bukan menyediakan percutian hujung minggu ke The Haven Resort di Ipoh dengan persembahan muzikal ekstravaganza yang indah? 

Tetamu yang menginap bersama kami akan diberikan pengalaman konsert musik yang unik dan pertama seumpamanya dengan alunan muzik dari pentas terapung di tasik yang dilengkapi dengan alam semula jadi hutan di sekelilingnya."

 

 Beliau menambah,

“Diinspirasikan oleh Festival Muzik Tahunan Hutan Hujan Sarawak; kami percaya The Haven Musical Extravaganza berpotensi untuk menjadi acara tahunan yang paling menarik dan dijadikan tarikan penting untuk negeri Perak. Kami berharap pertunjukan muzikal ini akan menjadi pemangkin kepada banyak lagi acara yang akan mempromosikan Ipoh sebagai Bandar Batu Kapur, Muzik dan Kesenian.”

Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh, berkata,

“Sudah tiba masanya untuk The Haven memperkenalkan Muzikal Extravaganza di Ipoh. Usaha memperkenalkan muzikal ekstravaganza ini sememangnya kreatif dan dialu-alukan oleh Kerajaan Negeri Perak yang sedang berikhtiar untuk mempromosi Ipoh sebagai Bandar Batu Kapur, Muzik dan Kesenian Asia. Sokongan sektor swasta, terutamanya dalam usaha mereka untuk mempromosikan Ipoh sebagai destinasi pelancongan utama amat dihargai khususnya untuk pelancong tempatan dan asing.”

Katanya lagi,

“Setelah wabak ini beransur-ansur hilang, Ipoh dijadualkan terus menjadi perhatian serta pilihan percutian yang indah untuk para pelancong. Dengan kesan pandemik selama 2 ½ tahun, ia tidak melemahkan semangat The Haven untuk memulih serta memastikan kemajuan Bandaraya Ipoh lebih hebat lagi.”

“SSO amat teruja untuk bekerjasama dengan The Haven Resort Ipoh dalam memberikan pengalaman deria baharu dalam muzik. Siri ini menghimpunkan orang ramai daripada semua latar belakang untuk menikmati muzik bertaraf dunia di dalam suasana yang paling indah, di salah satu bandar bersejarah Malaysia,” kata Eugene Pook, Pengasas Selangor Symphony Orchestra.

The Haven Resort juga merupakan penyokong pelbagai inisiatif yang diketuai oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC),  Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia dan Kerajaan Negeri Perak. Dengan itu, The Haven Resort telah iktiraf kepentingan menyokong industri pelancongan Perak dan peningkatan ekonomi tempatan dengan usaha-usaha mereka untuk menarik pengunjung dari seluruh Asia. Majlis Bandaraya Ipoh di bawah pimpinan Dato' Rumaizi bin Baharin @ Md Daud juga telah mula mempromosikan Ipoh sebagai sebuah Bandar Batu Kapur, Muzik & Kesenian di Asia. 

The Haven Musical Extravaganza ini adalah salah satu daripada persembahan-persembahan yang akan datang. Puan Nurmalis bt Musa, CEO Tourism Perak, juga akan menghadiri acara tersebut.

HARGA PAKEJ HANYA DARI RM390++/SEORANG

Pakej muzikal ini bermula dari RM390++/seorang* dan boleh dibeli melalui laman web di https://www.thehavenresorts.com/musical-extravaganza, nombor telefon WhatsApp +6019-759-8285, atau hubungi Jabatan Acara, Cik Yee Lai Kuan dengan telefon bimbit/ WhatsApp +6012-570-5498.

Keseluruhan pakej yang tersedia termasuk penginapan di suite yang serba lengkap, dan sarapan yang mewah disajikan pada pagi berikutnya. Para tetamu juga boleh memilih untuk menambah makan malam bufet antarabangsa untuk melengkapkan pengalaman mereka dengan harga RM75.00 bersih.


Sila layari https://www.thehavenresorts.com/ untuk maklumat lanjut.

*Termasuk akomodasi, tiket ke konsert dan makan pagi.

Apa tunggu lagi kawan-kawan, jom tempah sekarang!

Salam sayang,
Kak Nini.



Isnin, 22 November 2021

KELAS NIHONGGO ONLINE

Assalamualaikum semua, 

Semoga semua dalam keadaan baik dan sihat sejahtera hendaknya. Dalam keadaan wabak Covid-19 masih belum berakhir ni, diharapkan semua dapat menjaga kesihatan dan keselamatan masing-masing ya. Rata-rata sekolah dan asrama pun dah dibuka semula dan sesi pembelajaran bersemuka dah pun bermula kan. Usaha, doa dan bertawakal. InshaAllah minta dijauhkan dari segala mara bahaya buat semua. 

Kami sekeluarga, Alhamdulillah baik adanya. Kerja seperti biasa. Tambah juga dengan kerja-kerja sampingan buat bantu keluarga mana yang perlu. Moga-moga dipermudahkan segala.

Abang Haikal dalam fasa sibuk memenuhi tuntutan peperiksaan dan ujian. Maklumlah tahun depan dah Tingkatan 1! Remaja dah pun anak bujang saya Alhamdulillah. 

Entry ni bukan setakat nak update pasal saya dan keluarga je kan. Sebenarnya nak update, kelas Bahasa Jepun kami masih berjalan, setakat ni secara on-line. Alhamdulillah feedback yang baik daripada bekas-bekas pelajar. Sesi pengambilan pelajar baru pun on going ya.

Kami guna syllabus Genki 1 dan Genki 2. Sesuai juga untuk orang-orang yang berhasrat untuk menduduki peperiksaan Japanese Language Proficiency Test. Kami ni tidaklah pandai mana, tapi bolehlah nak tolong tunjuk ajar sikit mana yang perlu.

Selain daripada itu, saya juga offer kelas Nihonggo untuk anak-anak usia sekolah rendah. Kelas santai-santai sambil baca buku atau komik. Kebanyakan kelas one-to-one. Harga sangat berpatutan dan tidak membebankan inshaAllah ya. Cuma tak dapat nak buka banyak slot kerana kekangan waktu. 

Poster baru dalam usaha pembikinan. Doakan kami rajin! Serajin-rajinnya hehe. Baiklah sampai di sini dulu. Nanti saya update lagi ya inshaAllah.  

Siti/Hafidz 012-7645998

Ahad, 4 Julai 2021

ULASAN BUKU - ANXIETY (KERESAHAN)

ASSALAMUALAIKUM.

Apa khabar semua? Diharapkan semua dalam keadaan sihat dan baik-baik sahaja. Tak dinafikan dalam keadaan kita masih berusahan melawan pandemik, pelbagai ujian yang menimpa. Pastiya lain orang lain ujiannya. 

Kadar jangkitan masih dalam tahap yang tinggi walaupun PKP 3.0 sudah sampai ke penghujungnya. Lebih membimbangkan adalah kadar kematian setiap hari yang turut meningkat. 

Dalam masa yang sama, kita masih terkurung dan ramai yang hilang punca pendapatan. Saya pun hari ni pertama kali menjejakkan kaki ke Aeon setelah sekian lama tak berkunjug. Sedih melihat banyak outlet yang telah tutup sepenuhnya, mungkin dah tak boleh nak roll over. 

Dalam berita dan media sosial pula semakin banyak berita/cerita tentang rakyat yang kemurungan, kesusahan, malah ada yang mengambil jalan membunuh diri akibat tekanan. Sungguh sedih dan terganggu kadang tu bila tengok berita yang menyedihkan sebegini. 

Jomlah kita semua tengok apa yang boleh kita bantu, apa yang boleh kita sumbangkan dalam membantu mana yang patut. tanyalah khabar jiran tetangga, adik-beradik. Mana tau ada yang memerlukan bantuan. Hulurkanlah mana yang boleh. Sebaliknya jika anda memerlukan bantuan, cubalah reach out dan cari sokongan yang boleh membantu ya. Saya doakan dipermudahkan urusan buat semua.

Baru-baru ini saya ada membaca buku bertajuk Anxiety. Tajuknya panjang lagi, tapi dah tak jumpa pula. Secara asas, buku tersebut berkongsi tentang Anxiety dari perspektif seorang anak remaja yang mengalami masalah Anxiety sejak kecil.

Penulis juga berkongsi tentang langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengurangkan atau mengawal masalah Anxiety dengan baik. Antaranya adalah dengan mengakui (acknowledge) bahawa kerisauan itu adalah normal. Bila kita sedar bawa diri kita dalam keadaan diambang keresahan, lebih mudah untuk mengamalkan langkah untuk bertenang seperti teknik pernafasan dan sebagainya. 

Bagi saya buku ini amat bagus untuk ibu-bapa yang mempunyai anak yang mudah risau. Malah panduan yang baik untuk ibu-bapa yang selalu dilanda masalah Anxiety juga. Cubalah membaca dan menambah ilmu pengetahuan tentang keresahan ya. Mana tau boleh dijadikan panduan dan membantu kita menjalani kehidupan sehari-hari dengan lebih tenang inshAllah.

Baiklah sampai setakat ini saja. Jaga kesihatan dan keselamatan semua ya.

Salam sayang, 
Kak Nini.




Selasa, 6 April 2021

'BUKA PUASA ALA KAMPUNG' DI THE HAVEN

Assalamulaikum dan Salam Sejahtera semua,

Lama kita tak bersua kan? Setahun lebih dah kita dalam tempoh pandemik Covid-19, pejam celik pejam celik, Ramadhan pun hampir menjelma lagi. Alhamdulillah atas nikmat usia yang diberi. Semoga kita semua dapat menjalani Ramadhan kali ini dengan lebih bermakna, dan menjadikan diri kita dan keluarga ke arah yang lebih baik dari sebelumnya, InshaAllah amin.


Jadi bersempena dengan ketibaan Ramadhan tahun 2021 ini, suka saya ingin kongsikan tentang pakej berbuka puasa yang disediakan oleh The Haven Resorts Ipoh. Sesuai sangat untuk warga Perak yang dah lama tak dapat ber'holiday' akibat PKP. Malah mungkin ada juga yang dah lama tak balik kampung yang berada di luar Perak. Mestikan rindukan keluarga, suasana kampung dan paling penting rindu dengan masakan mak di kampung kan?

The Haven Ramadhan Buffet 2021
Banyaknya lauk, Abang Haris pun confuse nak makan mana satu ni..

Maka bertepatanlah tema buffet berbuka puasa 2021 oleh The Haven yakni 'Buka Puasa Ala Kampung'. Bolehlah kita mengubat sedikit kerinduan pada kampung halaman harapnya ya =)

'Gourmet' Ramadhan Istimewa

The Haven menyajikan lebih daripada 50 citarasa sajian berbuka puasa yang disediakan khas oleh ketua tukang masak "Chef Shamsul" nama diberi, dan dibantu oleh sepasukan tukang masak terlatih yang hebat belaka. Antara masakan warisan kampung yang diketengahkan oleh team mereka adalah Gulai Ikan Masin, Udang Sambal Petai, Sotong Tumis Saderi, Ayam Masak Merah, Daging Panggang Air Asam, Kambing Peratal, Nangka Muda Masak Lemak, Nasi Hujan Panas, Nasi Mandy, Bubur Lambuk, Bubur Pulut Hitam dan banyak lagi menu lain yang enak belaka. 

The Haven Ramadhan Buffet 2021
Tauhu Goreng Sambal

The Haven Ramadhan Buffet 2021
Ikan Masak Asam Pedas

The Haven Ramadhan Buffet 2021
Sotong Tumis Saderi

The Haven Ramadhan Buffet 2021
Ayam Masak Kurma


The Haven Ramadhan Buffet 2021
Aneka Juadah Berbuka


The Haven Ramadhan Buffet 2021
Aneka Kerabu

Pilihan menu lauk-pauk akan berubah setiap hari tau, boleh jadi 'surprise' gitew. Selain itu, disediakan juga pelbagai gerai juadah istimewa seperti Gerai Makanan Arab, Gerai Sup, Gerai Mee, Gerai Bakar (ikan, ayam, daging) dan Gerai Gorengan. Saya paling ingat Gerai Laksa! Hidangan utama saja ada lebih 25 jenis tau. 

The Haven Ramadhan Buffet 2021
Desserts sedapnya semua!!!!

The Haven Ramadhan Buffet 2021
Kalau tengok masa tengah puasa ni.. agaknya hilang sikit pahala puasa ni hehe

Dan yang paling saya rambang mata waktu di sana adalah di bahagian appetizers dan desserts lah! Ada lebih 30 jenis semuanya, memang taktau nak pilih nak makan yang mana satu ya. 

The Haven Ramadhan Buffet 2021
Itik Salai Masak Lemak Cili Padi



Walaupun menu berubah setiap hari, namun ada juga sajian wajib yang dihidangkan setiap hari iaitu Itik Salai Masak Lemak Cili Padi dan Sup Gearbox. Ha, kalau anda berpeluang berbuka di sini, wajib cuba try test rasa 2 menu ni tau. Nama pun sajian wajib kan he he he..

The Haven Ramadhan Buffet 2021
Sup Gearbox


Dalam menjamu selera, aspek kesihatan dan kesegaran bahan mentah juga amat dititikberatkan ya. Hanya bahan yang segar dan berkhasiat yang digunakan dalam masakan kesemua juadah. Tanpa perasa tiruan, tanpa MSG ya. NO. NO. NO. 

Suasana

The Haven Ramadhan Buffet 2021
The Cuisines

Restoran yang diberi nama The Cuisines letaknya di tepi tasik yang tenang dan dikelilingi oleh kehijauan dan kedamaian hutan hujan semulajadi. Berlatarbelakangkan gunung batu kapur yang berusia 280 juta tahun yang berdiri megah adalah menjadi ikon kemegahan The Haven. Tambahan waktu bulan penuh, memang cantik sungguh pemandangan di sana ya, persis di dalam sinematografi filem.



The Haven Ramadhan Buffet 2021
Suasana di bahagian luar di tepi tasik

The Haven Resorts Ipoh
Cantik kan? @The Haven Resorts Ipoh



Sajian buffet The Haven boleh dinikmati oleh anda semua bermula Jumaat 16 April sehinggan Sabtu 8 Mei 2021. Nikmati hidangan istimewa ini dengan harga seperti di dalam gambar di bawah ya. Jika membuat tempahan awal sebagai 'early bird' pula berpeluang menikmati potongan sebanyak 20%!

Sahur dan Berbuka Disertakan Dengan Tempahan Penginapan


Lebih menarik dan berbaloi-baloi lagi, jika anda memilih untuk menginap di The Haven dalam bulan Ramadhan ini, juadah berbuka dan sahur adalah disertakan secara percuma! Malah anda boleh menunaikan solat terawih di dewan solat yang disediakan bersama ahli keluarga dan diimamkan oleh Imam yang bertauliah. Bolehlah menjalani ibadah puasa, ifthar, terawih dan sahur dengan tenang dan aman.

The Haven All Suite Resort, Ipoh

The Haven adalah merupakan destinasi pelancongan eko dengan taraf piawaian antarabangsa 5 bintang. Selain menawarkan penginapan yang selesa, perkhidmatan dan makanan yang terbaik dan sesuai buat semua lapisan masyarakat. 

Rugi kot kalau tak pergi ni. Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia pun dah bagi pengiktirafan 5 bintang ni. Rating dalam TripAdvisor pun sangat sangatlah lah baik. Dah 5 tahun berturut-turut leading. Pernah menggondol 58 anugerah tempatan dan antarabangsa termasuk anugerah "Restoran Mewah Dunia - Malaysia", menjadikan The Haven ni resort yang wajib anda lawati.

Untuk tempahan/ maklumat lanjut, bolehlah hubungi:
05-540 0000
sales@thehavenipoh.com


Tempahan terhad tau. Jadi apa tunggu lagi? Jom tempah sekarang!


Sabtu, 30 Januari 2021

URUS CASHFLOW DENGAN BIJAK

Assalamualaikum,

Hari ini saya nak kongsikan sedikit berkenaan pengurusan kewangan 'cash flow'. Baru-baru ini saya ada beli workbook Cashflow EDIT daripada senior saya semasa di Jepun dulu, kak Naff. Boleh follow IG beliau, content yang baik dan menarik.

Sumber: IG


Kenapa? Sebab azam saya tahun ni adalah untuk betul betul kurangkan hutang, buat simpanan kecemasan. Seterusnya fokus pada pelaburan untuk pengajian anak-anak, menunaikan haji, bantu keluarga dan adik-beradik. Merancang untuk menunaikan impian yang lebih membawa makna dalam kehidupan dan sebagai bekalan di sana nanti inshaAllah.

Umur pun dah semakin meningkat. Sedar tak sedar dah dekat 40 dah. Bila fikirkan balik rasa macam menyesal tak mula menyimpan dan melabur betul-betul dari awal memasuki alam perkerjaan. Sedangkan dulu saya banyak je membaca buku-buku pengurusan kewangan. Tapi tulah, ilmu tanpa amal maka kuranglah ertinya.

Walaupun bagi usia saya, waktu paling baik untuk melabur adalah 15 tahun dahulu, perkara yang lepas usah dikenang. Masa yang kedua terbaik adalah SEKARANG. InshaAllah mudah-mudahan usaha dengan niat yang baik akan diberkatiNya. 

Maka saya mahu mengambil kesempatan ini untuk menyeru saudara-saudari untuk sama-sama mencari dan mengamalkan ilmu pengurusan kewangan yang baik terutama bagi yang bekerja tetap mahupun bekerja sendiri. Memanglah duit bukan segalanya, tapi bukankah lebih baik jika kita boleh berdikari tanpa perlu meminta bantuan sekiranya kita mampu.

Namun dalam kegawatan akibat pandemik ni, saya faham ramai sangat yang terkesan dari segi ekonomi keluarga. Sekiranya saudara-saudari berjaya mendapatkan tangguhan pinjaman, ataupun mengeluarkan simpanan KWSP melalui iSinar, uruslah sebaiknya. 

Bagi yang masih bekerja dan punya pendapatan tetap pula, tanya tanyalah khabar adik-beradik, jiran tetangga, rakan-rakan. Mana tahu ada yang memerlukan. Ada sesetengah yang menderita dalam diam tanpa siapa pun tahu. Marilah sama-sama kita bantu.

Saya faham sangat bagaimana perasaannya, walaupun menghadapi kesusahan tapi tak terkeluar dari mulut untuk bersuara. Terkadang ia memerlukan perasaan cakna dan empati yang tinggi dari orang sekeliling. Bantu-membantulah. InshaAllah. 



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MARI BELAJAR BAHASA JEPUN DI IPOH

Salam semua.. Tahun ini ada beberapa cabaran baru yang saya sahut. Antaranya ialah dengan mula mengajar Bahasa Jepun setelah sek...